Siapa Murid Pemulihan

Ciri-Ciri Murid Pemulihan

Pelajar-pelajar pemulihan boleh dikenalpasti melalui ciri-cirinya yang berbeza dengan rakan sebaya mereka. Robial Kulop (1992) menyatakan bahawa kanak-kanak lambat sebagai kanak-kanak yang lemah dan kurang berkemampuan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain. Terdapat tiga kategori kanak-kanak pemulihan yang dinyatakannya iaitu:

  1. Kanak-kanak lemah perkembangan mental serta mengalami kecacatan- kecacatan yang lain. Antaranya gangguan kesihatan, kemahiran berbahasa yang terhad dan mengalami gangguan emosi.
  2. Kanak-kanak yang kerap ponteng sekolah dan berlatar belakangkan keluarga susah.
  3. Mengalami kesukaran khusus dari segi bacaan dan penulisan serta menjadi punca pencapaian rendah dalam hampir kesemua mata pelajaran.


Manakala Jamilah Ahmad (1999) turut menyenaraikan beberapa ciri-ciri murid yang lemah dalam pembelajaran. Antaranya:

  1. Tahap penguasaan sesuatu kemahiran seperti kemahiran lisan, bacaan ataupun penulisan adalah lambat.
  2. Tidak boleh atau lemah dari segi mengubah ilmu pengetahuan kepada situasi pembelajaran yang lain.
  3. Lambat untuk mengenal pasti sesuatu perkataan dari segi sebutan dan makna.
  4. Sering lupa mengenai apa yang telah diajar oleh guru.
  5. Tidak berminat untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran
  6. Lemah dari segi pengamatan, pendengaran dan penglihatan.
  7. Sentiasa bersendirian dan bersikap negatif seperti rendah diri dan mudah putus asa.
  8. Kerap ponteng sekolah dan bermasalah tingkah laku.
  9. Seorang yang pendiam, pemalu dan sukar untuk bertindak balas.



Faktor-Faktor Masalah Pemulihan

Setiap pelajar mempunyai tahap kecerdasan, kebolehan serta minat yang berbeza. Ini menyebabkan seseorang pelajar itu boleh memahami sesuatu konsep itu dengan cepat dan ada juga yang disebaliknya. Secara keseluruhannya pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai tahap I.Q yang rendah.

Syed Abu Bakar (1994) menyatakan kebolehan membaca seseorang adalah bergantung kepada keadaan normal ketajaman deria pendengaran dan penglihatan. Ini bermakna sekiranya berlaku sebarang kerosakan atau kecacatan pada bahagian deria ini, maka ketepatan pendengaran dan penglihatan akan terjejas. Secara tidak langsung ini akan menyulitkan proses pembelajaran kemahiran membaca. Mok Soon menyatakan terdapat beberapa fakrtor yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Faktor pertama ialah disebabkan pembelajaran. Iaitu kurikulum yang kurang sesuai dengan tahap perkembangan kognitif seseorang, strategi serta kaedah mengajar yang tidak sesuai dan secara tidak langsung tidak menarik minat pelajar. Sekiranya masalah – masalah ini tidak diatasi maka seseorang pelajar itu akan hilang minat untuk belajar dan akhirnya akan mengundang gejala-gejala negatif termasuk ponteng sekolah.

Faktor kedua yang dinyatakan ialah faktor peribadi yang berkait rapat dengan masalah kemiskinaan. Contohnya pelajar yang terpaksa bekerja secara sambilan bagi menambahkan pendapatan keluarga dan akhirnya menyebabkan mereka tiada masa untuk belajar dirumah.

Kurang kecerdasan juga menjadi salah satu faktor berlakunya masalah pembelajaran. Ianya berkaitan dengan masalah mental. Mereka yang mengalami masalah ini lambat untuk berfikir, cepat lupa, lemah pemahaman dan pengamatan dan sebaginya. Antara punca yang dikenalpasi ialah warisan keturunan ibu bapa, kelahiran secara tidak normal, kecederaan atau kemalangan serta kekurangan makanan yang berzat.

Eee Ah Meng (1998) turut menyatakan faktor pengajaran dan pembelajaran, fizikal dan deria, masalah pertuturan, masalah kesihatan, masalah mental dan masalah emosi turut menyumbang kepada masalah pembelajaran seseorang. Kesihatan memainkan peranan penting bagi mencergaskan otak. Dengan itu, pelbagai masalah wujud  dalam pembelajaran seseorang akibat daripada kesihatan yang kurang sihat.

Mok Soon Sang (1994) juga menyatakan faktor psikologi turut menyumbang kepada masalah pemulihan. Iaitu pelajar-pelajar yang bermasalah ini mempunyai perasaan seperti takut, benci, diam kurang berkeyakinan serta rendah diri. Pelajar-pelajar yang bermasalah pembelajaran ini berkemungkinan membenci guru dan sekolah ataupun menjadi seorang pemalu.

Ini bermakna pelbagai faktor mempengaruhi pembelajaran seseorang pelajar. Oleh itu semua pihak terutamanya guru perlu mengenal pasti punca masalah pembelajaran yang dihadapi oleh seseorang pelajar bagi membolehkan pelajar itu dibimbing dari awal lagi.


Contoh-contoh Masalah Penguasaan Kemahiran 3M


Tujuan Pendidikan pemulihan ialah bagi membantu pelajar yang tidak menguasai kemahian asas membaca, menulis dan Mengira. Oleh itu pendidikan Pemulihan adalah penting bagi membantu pelajar-pelajar ini. Eee Ah Meng (1998) menyatakan terdapat beberapa aspek yang perlu diambil perhatian bagi tujuan mengenal pasti pelajar yang bermasalah.

Masalah Membaca

Membaca merupakan satu proses pemindahan simbol-simbol yang dibaca kepada otak untuk ditafsirkan di beri makna. Terdapat beberapa masalah utama dalam penguasaan kemahiran membaca seseorang pelajar, iaitu keliru dengan:


1. Bentuk huruf yang seakan akan sama.

Contoh: h – n, c – e, f – t, g –q

2. Bentuk huruf terbalik

Contoh: w – m, h – y, u – n

3. Huruf-huruf berbentuk songsang

Contoh: p – q, b – d

4. Bunyi huruf yang seakan-akan sama.

Contoh: b-p, d-t, m-n

5. Menyebut bunyi suku kata

Contoh: lari disebut ‘lali’,  Mari disebut ‘mali’

6. Menyebut perkataan – perkataan yang seakan-akan sama rupa.

Contoh: rumput disebut ‘rambut’,  kelapa  disebut ‘kepala’

7. Tidak berupaya membaca dengan intonasi yang tepat.

8. Seringkali meninggalkan perkataan dalam ayat

9. Walaupun boleh mengeja tetapi tidak dapat menyebut perkataan

10. Teragak – agak untuk membaca .

Masalah Menulis


  1. Cara penulisan perkataan-perkataan tidak seimbang
  2. Huruf yang di tulis condong ke atas atau ke bawah.
  3. Jarak huruf tidak seragam.
  4. Huruf-huruf tidak mengukut garisan
  5. Mencampuradukkan antara huruf besar dan kecil.
  6. Meninggalkan huruf semasa menyalin ayat.
  7. Menulis huruf-huruf secara bertindan tindih.
  8. Jarak penulisan antara huruf yang tidak seimbang.
  9. Jarak di antara perkataan yang tidak sesuai.


Masalah Mengira


  1. Keliru tentang nilai nombor.
  2. keliru semasa menulis angka belas.
  3. Tidak boleh mengenal angka.
  4. Tidak boleh menulis angka dengan betul.
  5. Tidak boleh melengkapkan nombor mengikut turutan menaik /menurun.
  6. Masalah dalam pengusaan operasi asas (tambah, tolak, darab dan bahagi).


Strategi-Strategi Pendidikan Pemulihan

Bagi memastikan program Pemulihan mencapai matlamat, guru perlu merancang strategi pelaksanaan. Oleh itu program ini perlu disusun mengikut langkah-langkah tertentu. Berdasarkan Buku Panduan Pemulihan 1984, Chua Tee dan Koh Boh boon , 1992 menyenaraikan strategi yang perlu diikuti bagi melaksanakan Program Pemulihan. Antaranya:

  1. Mengenalpati murid lambat berdasarkan penilaian prestasi murid.
  2. Menggunakan kaedah pemerhatian, ujian atau tugasan bagi mengenal pasti masalah pembelajaran.
  3. Mengenal pasti sama ada punca sekolah atau di luar sekolah yang menyebabkan masalah pembelajaran.
  4. Penyediaan aktiviti pemulihan perlu berasaskan ciri-ciri pembelajaran murid.
  5. Menyediakan bahan pengajaran yang dibina sendiri atau sediaada.
  6. Mengelolakan kumpulan pemulihan dengan menjalankan aktiviti pemulihan dalam kumpulan kecil.
  7. Memastikan keberkesanan pengjaran pemulihan yang telah dilaksanakan.

Secara tidak langsung ini bermakna pengajaran pemulihan perlu dijalankan secara individu atau kumpulan dan berdsarkan kepada keperluan seseorang pelajar. Oleh itu langkah-langkah pengajaran perlu diikuti bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti yang dirancangkan. Keberkesanan bahan dan alat bantu mengajar adalah bergantung kepada sejauh manakah ianya dapat menarik minat dan memberi kefahaman kepada murid. Oleh itu pendidikan Pemulihan mempunyai tujuan dan sasarannya yang tersendiri untuk mencapai tujuannya dan memenuhi keperluan khas sasarannya.

Mohd Salleh Lebar (1996) menyatakan melalui penilaian guru dapat mengenal pasti kelemahan seseorang murid. Aktiviti pemulihan merupakan satu cara mengatasi kelemahan ini. Iaitu aktiviti pemulihan adalah langkah-langkah khusus bagi membantu murid yang bermasalah pembelajaran serta menanam sikap positif terhadap pembelajaran. Di sini aktiviti pemulihan  boleh dilaksanakan di dalam kelas biasa dan kelas pemulihan khas.


Credit to : Cikgu SITI NORBAYA BINTI AZIZAN

No comments:

Post a Comment